Berita Sidikkasus.co.id
JOHOR BAHRU: Dua tekong darat ditahan dipercayai cuba menyeludup keluar tiga sekeluarga yang mahu pulang ke negara berkenaan di Kukup, Pontian, awal pagi tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua itu, dua lelaki berusia 45 dan 51 tahun itu ditahan bersama tiga lagi warga Indonesia.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad, berkata tiga lagi warga Indonesia yang ditahan adalah pasangan suami isteri masing-masing berusia 26 dan 33 tahun dan bayi perempuan mereka yang berusia setahun.
“Kesemua mereka termasuk dua tekong darat itu ditahan ketika mereka sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal di Kukup jam 3 pagi tadi.
“PPM turut merampas dua motosikal iaitu jenis Yamaha Lagenda dan sebuah Modenas Kriss yang digunakan mereka.
“PPM Wilayah Dua akan terus membanteras kegiatan penyeludupan migran, kontraban dan jenayah rentas sempadan terutamanya di kawasan ‘hotspot’ yang dikenalpasti,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, tangkapan dan rampasan dibuat mengikut kesalahan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamanya PPM Wilayah Dua amatlah dialu-alukan bagi menangani jenayah dan penyeludupan migran, ” katanya.
Sumber: Berita Harian
Komentar